AKSI Bagnaia ketika sesi ujian di SIC. FOTO AFP
AKSI Bagnaia ketika sesi ujian di SIC. FOTO AFP
Agensi

Madrid: Berhasrat untuk muncul juara dunia MotoGP kali ketiga pada 2024, Francesco Bagnaia mengesahkan statusnya sebagai pelumba pilihan dengan aksi memberangsangkan pada sesi ujian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bagnaia menamatkan ujian tiga hari itu selaku pelumba terpantas termasuk mengatasi seteru utamanya, Jorge Martin.

Bercakap kepada MotoGP.com, Bagnaia berkata: "Saya dapat melakukan masa sepusingan yang sangat baik. Saya gembira dengan pencapaian ini tetapi ia hanyalah sesi ujian.

"Saya berpuas hati dengan usaha yang kami lakukan dan kami dapat memanfaatkan sebaik-baiknya sepanjang tempoh itu dan motosikal baharu berfungsi dengan baik.

"Kami akan terus bekerja keras dan cuba meningkatkan prestasi jentera secara berperingkat di Qatar."

Sesi ujian Qatar yang bermula Isnin depan, akan menjadi peluang terakhir untuk pelumba dan pasukan mencari persediaan yang sempurna sebelum bermulanya musim baharu.

Di Qatar, Bagnaia akan menumpukan kepada prestasi kuasa di jenteranya kerana ia dilihat sama seperti tahun lalu.

"Bagi kerja-kerja seterusnya sangat penting untuk meningkatkan prestasi jentera kerana saya rasa ia sama seperti tahun lalu sedangkan kami perlukan jentera lebih berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 11:03 AM