KONTRAK Binotto sepatutnya tamat pada hujung 2023. FOTO AFP
KONTRAK Binotto sepatutnya tamat pada hujung 2023. FOTO AFP
Reuters

Paris: Bos pasukan Formula Satu (F1) Ferrari, Mattia Binotto meletak jawatan dan akan meninggalkan pasukan itu pada hujung tahun ini, kata naib juara kategori pengeluar itu, hari ini.

Berita itu hadir selepas spekulasi menyatakan Binotto, 53, yang akan tamat kontrak pada hujung 2023, tidak mendapat sokongan pihak atasan selepas sekali lagi gagal mencabar gelaran.

"Dengan penuh kekesalan mengenai perkara ini, saya memutuskan untuk menamatkan tugas saya bersama Ferrari," kata pengeluar kereta Itali itu mengenai pengumuman dibuat Binotto dalam satu kenyataan mengenai pemergiannya.

"Saya akan meninggalkan syarikat yang dicintai dan saya menjadi sebahagian daripadanya selama 28 tahun dengan ketenangan berdasarkan usaha dilakukan untuk mencapai objektif ditetapkan.

"Saya meninggalkan pasukan yang sedang membangun dan bersatu. Satu pasukan yang kuat dan saya pasti, bersedia mencapai matlamat tertinggi dan saya mengucapkan selamat maju jaya untuk masa depan.

"Saya fikir, langkah tepat untuk mengambil tindakan ini pada masa ini, walaupun ia satu keputusan sangat sukar buat saya."

Ferrari berkata, mereka kini sedang mencari pengganti Binotto yang mungkin diselesaikan pada Tahun Baharu.

Media Itali mencadangkan Ketua Eksekutif Ferrari, Benedetto Vigna boleh memikul jawatan itu buat sementara itu.

Frederic Vasseur yang mengemudi pasukan berpangkalan di Switzerland iaitu Sauber dan prinsipal pasukan Alfa Romeo, turut dikaitkan sebagai pengganti jawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 9:27 PM