VERSTAPPEN (kiri) akan bermula di petak utama di GP Jepun di Litar Suzuka, esok. FOTO Reuters
VERSTAPPEN (kiri) akan bermula di petak utama di GP Jepun di Litar Suzuka, esok. FOTO Reuters
AFP

Suzuka: Max Verstappen memiliki peluang cerah untuk mengekalkan gelaran juara dunia Formula Satu (F1) apabila akan bermula di petak utama di Grand Prix (GP) Jepun, esok.

Pemandu Red Bull itu mencatat masa terbaik di peringkat kelayakan iaitu 1 minit 29.304 saat, hanya 0.010s di depan pemandu Ferrari, Charles Leclerc yang juga pencabar utamanya dalam kedudukan juara keseluruhan.

Seorang lagi pemandu Ferrari, Carlos Sainz akan bermula di petak ketiga.

Verstappen kemudian berdepan penantian mendebarkan apabila pegawai perlumbaan menyatakan akan menyiasat insiden di litar antara pemandu Belanda itu dengan pemandu McLaren, Lando Norris.

Verstappen akhirnya diberi amaran keras, tetapi kekal di petak utama.

Dia akan mengekalkan gelaran juara dunia, esok, jika dia memenangi perlumbaan dengan pusingan terpantas dan tidak akan terkesan dengan keputusan pencabar lain.

Dia turut mengekalkan gelaran jika dia menang manakala Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat ketiga atau lebih rendah.

"Saya tidak terlalu memikirkan mengenainya, saya menghadapi hari demi hari," kata Verstappen, 25, yang memenangi 11 daripada 17 perlumbaan musim ini.

"Saya fikir apa yang lebih penting adalah kami memiliki kereta yang kompetitif dan jelas, ia diserlahkan di pusingan kelayakan hari ini.

"Saya harap semuanya sama ketika perlumbaan esok kerana kami perlukan perlumbaan yang sempurna untuk menang."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 8:33 PM