KERETA keselamatan terpaksa digunakan pada penghujung perlumbaan GP Belanda.
KERETA keselamatan terpaksa digunakan pada penghujung perlumbaan GP Belanda.
AFP

Zandvoort, Belanda: Lewis Hamilton memohon maaf kepada pasukan Mercedes atas reaksi marahnya dan melepaskan geram menerusi radio selepas kereta keselamatan mengganggu usahanya untuk memenangi Grand Prix Belanda.

Juara dunia tujuh kali itu mendahului perlumbaan di hadapan rakan sepasukan George Russell sebelum drama lewat perlumbaan apabila Valtteri Bottas berhenti di tengah litar bersama kereta Alfa Romeo dan tidak menamatkan perlumbaan.

Hamilton kekal dengan tayar medium yang sudah haus manakala Russel dan Max Verstappen menukar kepada tayar lembut untuk pecutan di pusingan akhir.

"Saya rasa kami mempunyai jentera yang boleh menang. Kami dicabar dengan banyak perkara - kereta keselamatan, kereta keselamatan maya - tetapi strategi dan kereta amat baik hari ini.

"Hentian pit kami adalah yang terbaik. Saya amat berharap kami dapat penamat satu-dua sebagai satu pasukan, tetapi kereta keselamatan tidak membantu dan saya begitu marah, maaf kepada pasukan.

"Saya tidak tahu apa yang saya katakan! Saya hilang kawalan seketika, tetapi itu hanya kerana semangat yang membara," kata Hamilton.

Juara dunia dan pendahulu kejuaraan, Verstappen memenangi perlumbaan untuk Red Bull hasil kesilapan strategi Mercedes itu.

Pemandu 24 tahun dari Belanda itu menceriakan lebih 105,000 penyokong tuan rumah di litar Zandvoort selepas menamatkan perlumbaan 4.071 saat lebih pantas daripada Russel.

Charles Leclerc dari Ferrari di tempat ketiga diikuti oleh Hamilton di tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 11:19 AM