BALQIS memperagakan aksi bersama jentera 110cc yang akan digunakan pada aksi FIM motoGP sambil disaksikan oleh Ahmad Faizal. FOTO Ihsan SIC
BALQIS memperagakan aksi bersama jentera 110cc yang akan digunakan pada aksi FIM motoGP sambil disaksikan oleh Ahmad Faizal. FOTO Ihsan SIC
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun baru berusia 11 tahun, gadis cilik Balqis Mohd Fauzi tidak gentar untuk mencabar pelumba lelaki apabila tampil sebagai satu-satunya pelumba perempuan yang akan bersaing buat kali pertama di pentas Kejohanan FIM MiniGP SIC tahun ini.

Balqis menjadi tarikan utama perlumbaan MiniGP yang memasuki tahun ketiga malah Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin mengakui bahawa gadis dari Sekolah Sekolah Kebangsaan Sri Mahkota Kuantan itu antara pelumba terbaik di antara 33 peserta yang hadir menjalani sesi uji bakat pemilihan pelumba.

Jelasnya keberanian yang dimiliki oleh Balqis itu diharapkan dapat membuka mata lebih banyak pihak dan lebih banyak bakat muda dapat dicungkil selepas ini.

"Kehadiran Balqis bukan saja mampu menjadi penyeri tapi mampu berikan saingan sengit kepada pelumba lelaki kejuaraan ini.

"Dia seorang pelumba yang mempunyai bakat besar dan mampu bersaing dengan peserta lelaki semasa dalam sesi pemilihan.

"Ketika sesi pemilihan dia adalah satu daripada pelumba yang terlaju dan ini satu petanda yang baik untuk sukan permotoran dari peringkat akar umbi," katanya.

Zulfahimi yang ditemui pada sidang media selepas Majlis Pelancaran MiniGP Malaysia musim ketiga di sini hari ini memaklumkan saingan tahun ini akan sedikit berbeza buat pertama kali perlumbaan siri ini akan dianjurkan di luar Sepang.

"Jika dua musim sebelum ini hanya litar go-kart Sepang menjadi lokasi pertandingan kali ini peserta akan dapat merasai kelainan di tiga lokasi berbeza dengan saingan pusingan pertama hujung minggu ini akan bermula di Sepang sebelum bergerak ke Litar UNIMAP (Universiti Malaysia Perlis), UUM (Universiti Utara Malaysia) dan Tangkak sebelum akan kembali semula ke Sepang.

"Dengan litar yang berbeza dan selekoh berbeza, saya sendiri sukar untuk mengagak bagaimana persaingan tahun ini.

"Malah tahun ini juga ada pembabitan pelumba luar dari Indonesia buat pertama kali dan saya berharap ia akan menjadi persaingan lebih menarik dan sihat kepada pelumba," katanya.

Dua kategori akan dipertandingkan membabitkan kategori utama 160cc dan 110 cc yang mana dua pelumba terbaik kategori utama 160cc akan layak beraksi ke FIM MiniGP Siri Dunia yang akan berlangsung di Valencia pada 1 dan 3 November tahun ini.

MiniGP sebelum ini berjaya melahirkan pelumba berbakat besar, Danish Hakim Ramlee yang muncul juara pada musim 2020 dan mengorak langkah ke peringkat antarabangsa seperti Asia Talent Cup (2021/2022) dan European Talent Cup (2021/2022).

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Tan Sri Mohamed Azman Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 6:30 PM