Peserta Kejohanan SIC MiniGP tahun lalu. FOTO Ihsan SIC
Peserta Kejohanan SIC MiniGP tahun lalu. FOTO Ihsan SIC
Aida Adilah Mat


LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) bersama ZK Racing bakal menganjurkan edisi sulung Kejohanan SIC MiniGP di Kart Antarabangsa Sepang (SIKC).

Kejohanan SIC MiniGP diadakan sebanyak lima pusingan akan membuka tirai Ahad ini diikuti pusingan kedua 6 September, 25 Oktober, 15 November dan pusingan akhir pada 6 Disember.

Perlumbaan berkenaan adalah satu inisiatif program akar umbi yang membolehkan 21 pelumba muda dari usia lapan hingga 13 tahun menimba pengalaman sebagai pelumba profesional.

Pelumba yang muda akan menggunakan jentera BucciMoto BR-10 yang mana pelumba muda berusia lapan hingga 11 tahun akan menggunakan MiniGP berkuasa 110CC.

Manakala, pelumba yang berusia 12 dan 13 tahun akan menunggang jentera MiniGP berkuasa 160CC.

Ia adalah satu peralihan dari ''pocket bike" ke jentera lumba yang mempunyai rangka penuh dalam usaha SIC untuk memberi pendedahan awal teknik berlumba kepada golongan remaja.

Peserta juga akan dilengkapkan dengan gear perlumbaan yang diluluskan oleh FIM, menjalani latihan fizikal dan program latihan kecergasan mental, rancangan pemakanan, teknik menunggang prestasi tinggi dan strategi perlumbaan.

Dilancarkan ketika #MalaysianGP2019, proses pemilihan peserta untuk kejohanan berlangsung Disember lalu membabitkan 52 peserta yang mana hanya 24 pelumba terpilih menyertai kejohanan ini.

Pada asalnya, perlumbaan pertama sepatutnya berlangsung pada 18 Mac lalu namun ditangguhkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sepanjang tempoh PKP, semua pelumba muda diberi program latihan kecergasan untuk mereka lakukan di rumah. Program ini wajib untuk mereka ikuti supaya berada dalam tahap yang baik walaupun tidak dapat beraksi di litar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 8:27 PM