RAZLAN (dua dari kanan) anggap kemenangan itu sebagai satu penghormatan dan buktikan SIC mampu ajur perlumbaan bertaraf dunia. -Foto fail
RAZLAN (dua dari kanan) anggap kemenangan itu sebagai satu penghormatan dan buktikan SIC mampu ajur perlumbaan bertaraf dunia. -Foto fail

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) menerima Anugerah Grand Prix Terbaik buat kali kedua selepas Grand Prix Malaysia Shell dua bulan lalu turut dinobat selaku yang terbaik untuk musim 2017.

Kali pertama SIC menerima penghargaan itu adalah pada 2012 dan anugerah berkenaan dinilai antaranya oleh Suruhanjaya Grand Prix yang disertai Dorna Sports SL, Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) dan IRTA.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, ia satu penghormatan untuk menerima anugerah berkenaan sekali gus membuktikan kemampuan SIC untuk menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia.

“Ini membuktikan dedikasi dan keupayaan pasukan kami untuk menganjurkan acara antarabangsa yang diiktiraf oleh badan induk dunia seperti FIM dan Dorna (pemegang hak komersial dan televisyen untuk kejuaraan),” katanya.

“Terdapat 18 sirkit dan penganjur musim ini dan kami dipilih. Ia satu berita gembira buat Malaysia terutamanya peminat dan sudah tentu anugerah ini akan menambahkan lagi semangat staf SIC.”

GP Malaysia 2017 menunjukkan peningkatan dalam jumlah kehadiran penonton dan sepanjang tiga hari perlumbaan, seramai 166,486 penonton hadir ke Sepang.

Jumlah itu secara tidak langsung menyaksikan peningkatan ketara berbanding 161,533 kehadiran penonton tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 11:34 AM