FARRES duduki tempat pertama Siri FIM MiniGP Malaysia.
FARRES duduki tempat pertama Siri FIM MiniGP Malaysia.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pada usia belasan tahun, tiga anak muda negara meraih peluang keemasan menggegar Eropah selepas muncul tiga pelumba terbaik saingan Siri FIM MiniGP Malaysia yang berakhir semalam di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang.

Mereka adalah Farres Putra yang mengungguli tempat pertama diikuti Emil Idzhar dan Farish Hafiy menduduki tempat kedua serta ketiga sekali gus akan beraksi di kejuaraan dunia di Valencia, Sepanyol bulan depan.

Selepas empat pusingan serta membabitkan 13 pelumba, Farres mengumpul 135 mata untuk mengatasi Emil yang memungut 122 mata manakala Farish yang cemerlang pada tiga pusingan terdahulu, mengutip secara keseluruhan 120 mata.

Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang diberi tanggungjawab mengendalikan perlumbaan itu mengakui saingan untuk merebut tiga tempat teratas sangat sengit.

"Saya juga gembira kerana kita akhirnya dapat memilih tiga pelumba teratas dalam Siri FIM MiniGP Malaysia untuk bersaing pada kejuaraan dunia di Valencia.

"Saya yakin mereka mampu beraksi dengan baik dan mempamerkan prestasi membanggakan pada kejuaraan dunia ini. Saya dan pasukan akan terus membantu dalam persediaan dan menyiapkan mereka untuk beraksi sebaik mungkin.

"Kami juga berharap untuk terus bekerja dengan pelumba lain bagi membantu peningkatan prestasi mereka," katanya.

Perlumbaan itu diiktiraf oleh Dorna, pemegang hak penganjuran kejuaraan MotoGP Dunia dan Persekutuan Lumba Motosikal Antarabangsa (FIM) untuk pelumba berusia antara 11 hingga 13 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 4:48 PM