FERRARI berazam mahu bangkit semula di Miami. FOTO AFP
FERRARI berazam mahu bangkit semula di Miami. FOTO AFP
AFP

Imola: Ketua pasukan Ferrari, Mattia Binotto menggesa pasukannya dan peminat agar terus kekal tersenyum serta kembali bangkit bagi memburu kejuaraan pertama sejak 2007 selepas aksi buruk di laman sendiri.

Beliau memberitahu Scuderia untuk bangkit semula walaupun dibayangi dengan kemenangan Red Bull yang diketuai oleh Max Verstappen di Grand Prix (GP) Emilia Romagna semalam.

Menjelang perlumbaan sulung GP Miami bulan depan, beliau menggesa pasukannya untuk kekal positif ketika mereka merancang untuk meningkatkan prestasi mereka.

Binotto mengakui Ferrari mengalami keputusan yang mengecewakan apabila penyandang juara Verstappen mengetuai rakan sepasukannya Sergio Perez meraih kejayaan,

Pemandu mereka yang juga pendahulu kejuaraan, Charles Leclerc menduduki tempat keenam dan jentera Carlos Sainz pula berpusing pada pusingan pembukaan.

"Jelas sekali, kami agak tidak berpuas hati dengan keputusannya. Saya rasa kita perlu sentiasa berjaga-jaga. Ia sebahagian daripada perlumbaan.

"Sesetengah perlumbaan mungkin ada yang kami melakukan kesilapan dan ia telah berlaku di sini - tetapi kami masih mempunyai pakej yang kompetitif.

"Saya fikir kita perlu terus tersenyum dan menantikan perlumbaan seterusnya," kata Binotto.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 9:53 PM