PENGALAMAN beraksi bersama pelumba Eropah cukup berharga dan membakar semangat pelumba muda negara. FOTO Ihsan Litar Antarabangsa Sepang
PENGALAMAN beraksi bersama pelumba Eropah cukup berharga dan membakar semangat pelumba muda negara. FOTO Ihsan Litar Antarabangsa Sepang
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun gagal menamatkan saingan Siri Dunia MiniGP 2021 yang menutup tirai di Litar Valencia semalam di kedudukan podium, namun penyertaan pelumba negara menjadi satu pengalaman yang amat bermakna.

Ia dianggap sebagai batu loncatan buat Farres Putra, Emil Idzhar dan Farish Hafiy untuk mengorak langkah ke peringkat lebih jauh selepas ini.

Pengalaman beraksi bersama pelumba Eropah cukup berharga dan membakar semangat mereka untuk terus terbabit dalam sukan pemotoran.

Bagi juara edisi Siri MiniGP Malaysia 2021, Farres berkata, dia sudah berusaha memberi yang terbaik dan mengakui sedikit kecewa kerana tidak dapat beraksi di perlumbaan utama.

"Memang saya akui sedikit kecewa sebab gagal untuk beraksi di perlumbaan utama. Tapi yang penting sekarang adalah pengalaman yang saya raih di sini (Valencia).

"Tak mudah untuk dapat peluang berlumba dengan pelumba Eropah. Saya juga bersyukur semulanya selamat dalam perlumbaan berjalan dengan baik. Tak ada yang cedera atau terjatuh," katanya.

Farres menamatkan aksi di kedudukan keenam pada sesi kelayakan Perlumbaan 1 dan ketiga pada kelayakan Perlumbaan 2 dan hanya seorang saya yang terpilih untuk ke perlumbaan utama.

Berdasarkan format kejuaraan, dua pelumba daripada sesi kelayakan Perlumbaan 1 akan disenaraikan ke Perlumbaan 1 bersama kelompok 12 pelumba terpantas.

Manakala hanya seorang pelumba daripada kelayakan Perlumbaan 2 akan menyertai Perlumbaan 2 bersama kelompok 14 pelumba terpantas yang lain.

Sementara itu bagi seorang lagi pelumba muda negara, Emil berkata, dia berharap dapat terus melebarkan cabaran di peringkat antarabangsa dan pengalaman yang diraihnya kali ini diharapkan dapat membantu meningkatkan prestasi di masa akan datang.

Malah dia yakin sekiranya terus diberi peluang dia mampu untuk memperbaiki catatan masa dan corak tunggangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 10:03 PM