HAKIM duduki tempat kelima keseluruhan musim ini.
HAKIM duduki tempat kelima keseluruhan musim ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Empat pelumba muda motosikal negara dipertaruhkan untuk menggalas cabaran di Asia Talent Cup (ATC) musim depan yang akan diketuai Hakim Danish Ramli.

Hakim yang berpengalaman beraksi di kejuaraan itu tahun lalu akan turut ditemani tiga lagi pelumba iaitu Farres Putra Fadhill, Emil Idzhar Ezuan dan Farish Hafiy Farid Sezli.

Ia dilihat satu pendedahan berguna buat tiga pelumba baharu itu yang sebelum ini menyertai Siri MiniGp Malaysia 2021 dan menamatkan saingan di kelompok tiga terbaik. Musim depan menjanjikan cabaran baharu buat Hakim, 14, selepas terbabit dengan kemalangan yang mengakibatkan tulang lengan kanannya retak ketika beraksi di Litar Mandalika, Indonesia November lalu sehingga terpaksa menarik diri daripada meneruskan baki perlumbaan.

Hakim menamatkan musim 2021 di kedudukan kelima keseluruhan selepas meraih 57 mata. Untuk rekod, Hakim berjaya meraih tiga penamat podium di kedudukan ketiga ketika beraksi di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada Mac dan April lalu.

Kempen 2022 dijadual membuka tirai pada Februari nanti dengan ujian rasmi di Litar Antarabangsa Losail sebelum Pusingan 1 bertempat di litar sama dari 4 hingga 6 Mac.

Pusingan 2 dijadual berlangsung dari 18 hingga 20 Mac di Litar Mandalika sebelum Litar Twin Ring Motegi, Jepun menjadi lokasi seterusnya dari 23 hingga 25 September. Cabaran di ATC akan turut diwarnai 11 lagi pelumba rookie dari Jepun, Indonesia, Vietnam dan Australia.

Turut berada dalam senarai 20 pelumba bagi musim depan adalah pemenang tempat ketiga keseluruhan 2021 dari Jepun, Gun Mie yang bakal memasuki tahun ketiganya di peringkat Asia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 9:20 PM