ZHOU Guanyu. FOTO Formula1.com
ZHOU Guanyu. FOTO Formula1.com
Agensi

London: Zhou Guanyu bakal menjadi pemandu pertama dari China yang berlumba di Formula Satu.

Dia yang berusia 22 tahun dan berasal dari Shanghai dijangka disahkan menyertai Alfa Romeo musim depan dan bergandingan dengan Valtteri Bottas.

Zhou kini menduduki tempat kedua kejohanan Formula 2 dan juga sebahagian daripada program pemandu muda Alpine.

Dia hanya pemandu kedua dari China yang memandu jentera F1 selepas Ma Quinghua melakukannya ketika lima sesi ujian pada 2012 dan 2013 bersama HRT dan Caterham.

Zhou yang sebelum ini sebahagian daripada Akademi Pemandu Ferrari diberi lampu hijau meninggalkan Alpine dalam misi mencapai impian di F1 selepas pasukan itu enggan melepaskan Fernando Alonso atau Esteban Ocon.

Pengarah Eksekutif Alpine, Marcin Budkowski berkata: "Mengenai Zhou, terdapat spekulasi bertiup kencang dan sekali lagi saya tidak akan komen mengenai khabar angin atau kontrak pelumba.

"Kami menilai pilihan untuk pelumba akademi kami tetapi kejayaan akademi turut diukur menerusi hasil diperolehi.

"Kami mengendalikan akademi ini kerana kami mahu menghasikan pelumba F1 yang berpotensi. Tetapi kami tidak boleh menyekat pemandu kami dan sedia menghadapi cabaran itu. Jika disekat ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada karier mereka secara individu selain menjejaskan imej akademi kami.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 12:22 PM