HAFIZH Syahrin Abdullah. FOTO Owee Ah Chun
HAFIZH Syahrin Abdullah. FOTO Owee Ah Chun
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pembatalan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) buat kali kedua nyata cukup mengecewakan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Jelas pelumba tunggal negara yang beraksi di MotoGP itu, dengan masa depannya yang masih belum pasti, dia juga tidak tahu sama ada berpeluang beraksi lagi pada tahun depan di Sepang.

"Saya tak pernah berlumba Moto2 menggunakan enjin triumph di Sepang dan kali terakhir saya berlumba adalah pada 2019 dalam kategori MotoGP bersama KTM.

"Saya pun tak tahu masa depan saya macamana. Kalau saya tak ada di tahun depan, mungkin belum pasti ada pelumba Malaysia yang akan beraksi," kata pelumba NTS RW Racing GP itu.

Hafizh juga mengakui pembatalan kali kedua berturut-turut GP Malaysia menyebabkan peminat tempatan terutamanya penyokong setia pelumba legenda, Valentino Rossi tidak dapat menyaksikan aksinya buat kali terakhir selepas mengumumkan persaraan berakhir musim ini.

"Ramai peminat yang masih menyokong Rossi. Nak tengok dia beraksi di Sepang buat kali terakhir tapi tak sampai hajat mereka.

"Bagi saya, perlumbaan yang berlangsung di Eropah berulang kali agak kurang menarik sebab tak ada pusingan perlumbaan di Motegi (Jepun), Australia dan Malaysia.

"Insya-Allah jika ada rezeki kita dapat berjumpa tahun depan di Sepang," katanya.

Khamis lalu kenyataan bersama daripada badan induk sukan itu, FIM dan promoter Dorna mengesahkan GP Malaysia terpaksa dibatalkan buat kali kedua berturut-turut berikutan pandemik Covid-19 dan sekatan kemasukan ke Malaysia dengan Misano akan menggantikan pusingan perlumbaan di Malaysia.

Selain Malaysia, pusingan perlumbaan di Thailand, Jepun dan Australia turut dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 5:08 PM