Fadhli Ishak dan Sukhairi Thani


PRINSIPAL pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal (gambar) mengakui dirinya sudah lama ‘menaruh hati’ dengan Hafizh Syahrin Abdullah sejak pelumba itu muncul di Grand Prix (GP) Malaysia 2012 menerusi penyertaan tiket wildcard.

Hafizh yang ketika itu berusia 18 tahun, memulakan saingan di kedudukan ke-27, namun mengerah keringat untuk meraih penamat keempat, sekali gus membuka mata banyak pihak. 

Dia kemudiannya diangkat ke tangga ketiga selepas pelumba Australia, Anthony West yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dilucutkan kemenangannya kerana isu doping.

Poncharal berkata, kedudukan di pertengahan carta Moto2 diraih Hafizh menunjukkan bakat dan  kemampuannya.

“Saya sentiasa mengingati 2012 ketika Hafizh beraksi menggunakan tiket wildcard di Sepang apabila dia beraksi penuh menakjubkan dalam keadaan litar basah,” kata Poncharal.

“Ia adalah kali pertama saya melihat dirinya dan saya katakan wow! Siapa pelumba itu? Dia mempunyai bakat yang luar biasa.

“Cara dia mengawal situasi genting dengan banyak air di trek dan berjaya mengelak daripada terjatuh amat sukar untuk dipercayai. Dia berjaya mengawal tekanan dengan baik dan menamatkan kedudukan di tangga keempat yang kemudiannya diangkat ke tangga ketiga.

“Dari saat itu, saya amat ingin tahu dan berminat mengenalinya dengan lebih dekat, malah saya mengikuti perkembangannya di Moto2 dan yakin dengan kemampuannya (dalam Moto2).

“Bukan mudah berada di Eropah, Moto2 adalah satu operasi kecil dan dia perlu belajar banyak perkara. Meskipun keputusannya di Moto2 mungkin biasa saja buat sesetengah pihak, tetapi saya tahu bakat dimilikinya.”

Dalam pada itu, Poncharal berkata, dia melakukan segala-galanya untuk mengikat Hafizh selepas peluang terhidang di depan mata.

“Saya sentiasa berkata kepada diri saya betapa saya mahu bekerja bersamanya dan apabila (Jonas) Folger memutuskan tidak boleh berlumba musim ini, saya terus mengambil peluang itu.

“Saya menawarkan Hafizh dan (Datuk) Razlan Razali slot berkenaan dan saya gembira apabila mereka menerimanya. Ia adalah lakaran sejarah kerana ini kali pertama seorang rakyat Malaysia dan pelumba di rantau Asia Tenggara beraksi secara sepenuh musim di MotoGP.”

Poncharal juga percaya tidak ada seorang muka baharu yang mampu menyiapkan diri untuk perlumbaan di MotoGP, namun penampilan Hafizh sebelum pembukaan musim 2018 di Grand Prix Qatar hujung minggu ini, tampak meyakinkan.

“Apa yang dilakukan setakat ini adalah sangat mengagumkan kerana kesemua pelumba muka baharu sudah melalui lebih tiga sesi ujian berbanding Hafizh (kerana lewat ditandatangani) dan dia sudah melakukan banyak perkara menakjubkan,” kata Poncharal.

“Untuk muncul selaku muka baharu kedua terpantas (di sesi ujian rasmi Qatar) selepas Franco Morbidelli adalah sangat bagus, dia sudah melepasi jangkaan saya, pasukan dan jurutera Yamaha.

“Namun ujian adalah sesuatu yang berbeza daripada perlumbaan dan selaku muka baharu, biarpun kamu sudah melakukan kesemua sesi ujian, kamu masih belum tentu bersedia sepenuhnya lagi.

“Masih banyak perkara yang perlu dipelajari mengenai jentera MotoGP tetapi kamu perlu memulakan langkah pertama. Dia akan menjadi pelumba MotoGP yang lebih baik dalam tempoh tiga atau empat bulan dari sekarang.”

Sebelum ini, Poncharal pernah berkata yang Hafizh dan rakan sepasukan, Johann Zarco akan menggunakan chasis 2016 sama seperti pelumba Yamaha, Valentino Rossi dan Maverick Vinales namun dengan penggunaan enjin dan aerodinamik berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 6:19 PM