HAFIZH (kiri) tak sabar berlumba bersama Rossi. -Foto Agensi
HAFIZH (kiri) tak sabar berlumba bersama Rossi. -Foto Agensi
Fadhli Ishak dan Sukhairi Thani


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah teruja untuk berlumba bersama idolanya, Valentino Rossi apabila saingan perlumbaan MotoGP membuka tirai di Grand Prix Qatar, 18 Mac ini. 

Hafizh yang menjadi pelumba pertama dari Asia Tenggara bersaing dalam saingan MotoGP berkata, dia hampir putus harapan untuk berlumba dengan Rossi dalam kategori perdana sebelum menandatangani kontrak bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3, Rabu lalu.

“Saya sentiasa percaya semua kerja keras dan pengorbanan yang saya lakukan akan membolehkan saya beraksi dalam saingan MotoGP. Saya cuma tidak pasti bilakah masanya. 

“Saya juga ada terfikir mungkin tidak berpeluang berlumba dengan Rossi kerana usianya yang semakin meningkat dan dia mungkin bersara sebelum saya mendapat peluang itu. 

“Saya sendiri terkejut kerana dapat peluang beraksi dalam MotoGP tahun ini dan tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran saya sehingga ia menjadi kenyataan. 

“Sudah pasti saya teruja berlumba dengan Rossi yang juga legenda sejati dalam sukan ini. Ia juga memberikan motivasi tambahan untuk saya melakukan yang terbaik,” kata pelumba berusia 23 tahun itu. 

Rossi yang berlumba untuk pasukan Yamaha dan menyambut ulang tahun kelahiran ke-39 bulan ini adalah juara dunia sembilan kali dengan tujuh gelaran hadir menerusi saingan kelas perdana. 

Hafiz mengakui dia secara diam-diam memasang impian untuk beraksi bersama pasukan idolanya itu jika mendapat peluang berlumba dalam saingan MotoGP. 

Tech 3 adalah pasukan satelit untuk Yamaha. 

“Awal tahun ini saya menjalani latihan dalam hutan di Sepanyol bersama Adam Norrodin dan jurulatih kecergasan kami. Adam bertanyakan kepada saya, jika saya beraksi cemerlang dalam Moto2 tahun ini dan diberi peluang beraksi dalam MotoGP, pasukan mana yang saya mahu wakili? 

“Tanpa ragu-ragu, saya beritahu kepada Adam, saya mahu menyertai Yamaha kerana jentera mereka lebih mudah untuk ditunggang. Saya tidak percaya ia menjadi kenyataan,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 7:25 PM