BAGNAIA meraikan kejayaannya di pentas podium. FOTO AFP
BAGNAIA meraikan kejayaannya di pentas podium. FOTO AFP
AFP

Portimao: Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia memenangi Grand Prix (GP) Algarve hari ini ketika juara dunia MotoGP yang baharu, Fabio Quartararo gagal untuk menamatkan perlumbaan selepas terjatuh dari jentera Yamaha miliknya.

Bagnaia yang bermula di petak pertama buat kali kelima berturut-turut, menamatkan perlumbaan di depan juara dunia 2020, Joan Mir dan pelumba Australia, Jack Miller yang turut menunggang Ducati.

Bermula di petak ketujuh, Quartararo terjatuh ketika berbaki lima pusingan di litar yang menyaksikannya memenangi GP Portugal, April lalu.

Pada perlumbaan yang penuh dramatik, Bagnaia meraih kemenangan kali ketiga musim ini.

Bagaimanapun perlumbaan itu berakhir di bawah peraturan bendera merah selepas Iker Lecuona dan Miguel Oliveira kedua-duanya yang beraksi bersama KTM, terbabit dengan kemalangan pada dua pusingan terakhir.

Kedua-dua pelumba terselamat namun Oliveira perlu menjalani pemeriksaan susulan di pusat perubatan dekat litar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 10:52 PM