MARTIN meraikan kemenangan. FOTO EPA
MARTIN meraikan kemenangan. FOTO EPA
Agensi

Spielberg, Austria: Juara Grand Prix Styria, Jorge Martin mengakui kibaran bendera merah pada awal perlumbaan memberi tuah kepadanya selepas berdepan dengan masalah tayar.

Perlumbaan semalam terpaksa dihentikan pada pusingan ketiga susulan kemalangan serius membabitkan pelumba wildcard KTM, Dani Pedrosa dan Lorenzo Savadori dari pasukan Aprilia. Savadori disahkan patah buku lali dan terpaksa melupakan GP Austria minggu depan.

Pelumba Pramac, Martin pula mengakui dia turut hampir menerima nasib sama ketika bersaing sengit dengan rakan sepasukan dari Ducati, Francesco Bagnaia pada awal perlumbaan.

Namun pertukaran tayar pada perlumbaan kali kedua terbukti berkesan sehingga membolehkan dia menjuarai MotoGP pertamanya.

"Penghujung minggu yang menggembirakan. Dapat menduduki petak pertama memang menakjubkan tetapi pada perlumbaan awal hari ini saya rasa OK tetapi agak bergelut dengan tayar hadapan.

"Jadi, bendera merah itu memberi tuah kerana memberi peluang untuk saya menukar kedua-dua tayar dan saya berasa sangat yakin berlumba selepas itu.

"Bagaimanapun, saya harap tiada yang serius menimpa Savadori,'' kata Martin yang menujukan kemenangan kepada datuknya di hospital.

Dia menamatkan perlumbaan dengan kedudukan selesa di depan rakan senegara dari Sepanyol yang juga juara bertahan, Joan Mir manakala pelumba Perancis, Fabio Quartararo yang menunggang Yamaha menduduki tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 9:24 AM