HAMILTON tewas kepada Verstappen di GP Styria. FOTO Agensi
HAMILTON tewas kepada Verstappen di GP Styria. FOTO Agensi
Agensi

London: Pasukan Mercedes tidak akan tunduk dengan desakan pemandu mereka yang mahukan perubahan pada kereta selepas tewas kepada jaguh Red Bull Max Verstappen di Grand Prix Styria.

Hamilton memberi amaran jika jenteranya tiada penambahbaikan dan naik taraf kemungkinan mereka akan terus kalah sekali gus menamatkan impiannya untuk muncul juara dunia kali kelapan musim ini.

Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff bagaimanapun menegaskan mereka akan kekal dengan strategi tidak menggunakan sumber yang ada ke atas kereta tahun ini dan tetap yakin pertarungan masih jauh daripada berakhir.

Manakala prinsipal pasukan Red Bull Christian Horner berkata dia berpendapat sekarang adalah masa terbaik menekan Mercedes.

Verstappen menguasai perlumbaan di Red Bull Ring dengan jentera Hamilton seperti kehilangan kuasa. Hamilton berkata tanpa sebarang perubahan pada kereta Mercedes, mereka akan terus kalah kerana kelajuan Red Bull sukar ditandingi.

Bagaimanapun, fokus Mercedes sudah beralih kepada membangunkan model 2022 yang mematuhi peraturan baharu selain mengambil kira kekangan bajet.

Hamilton masih belum menandatangani kontrak baharu dengan Mercedes untuk musim depan tetapi Wolff tetap yakin jaguh Britain itu akan terus bersama mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 12:28 PM