VERSTAPPEN (kanan) terus memberi cabaran kepada Hamilton. FOTO AFP
VERSTAPPEN (kanan) terus memberi cabaran kepada Hamilton. FOTO AFP
AFP

Le Castellet: Max Verstappen memenangi Grand Prix (GP) Perancis semalam untuk melebarkan kedudukan pendahulu kejuaraan pemandu berbanding Lewis Hamilton dan bakal memberi cabaran sengit kepada juara dunia dari Mercedes itu.

Verstappen yang memandu jentera Red Bull, mengekori Hamilton sebelum memotong juara dunia itu ketika berbaki satu pusingan sekali gus memenangi perlumbaan kali ketiga daripada tujuh pusingan musim ini.

"Saya gembira di hujung perlumbaan. Pada awalnya sangat sukar dengan angin kuat.

"Sepanjang perlumbaan saya bersaing sengit dengan Lewis. Saya jangkakan ia akan berterusan sehingga berakhir musim ini," kata Verstappen.

Verstappen kini mempunyai kelebihan 12 mata berbanding Hamilton menjelang dua perlumbaan 'di halaman' Red Bull dekat Austia.

Mercedes yang selama ini mendominasi pentas Formula Satu (F1), mengakui bakal menerima tentangan sengit daripada Red Bull.

"Kami akan berdepan saingan sengit musim ini dan harus bersatu sebagai sebuah pasukan," tulis pasukan itu di Twitter.

Seorang lagi pemandu Red Bull, Sergio Perez menduduki tempat ketiga manakala rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 12:17 PM