REAKSI Hamilton (kiri) dan Verstappen di pentas podium. FOTO Reuters
REAKSI Hamilton (kiri) dan Verstappen di pentas podium. FOTO Reuters
Agensi

Le Castellet: Lewis Hamilton menganggap Max Verstappen berada di landasan tepat memburu kejuaraan dunia keduanya apabila berkata segala-galanya berjalan dengan lancar untuk pemandu Belanda itu.

Verstappen, 24, mendahului 63 mata dalam persaingan kejuaraan pemandu selepas pesaing terdekat, Charles Leclerc terbabas ketika mendahului Grand Prix (GP) Perancis Ahad lalu.

Hamilton bersaing sengit dengan pemandu Red Bull itu untuk gelaran dunia tahun lalu tetapi kini dia ketinggalan lebih 100 mata ketika berbaki 10 perlumbaan lagi.

"Saya kecewa dengan Charles. Dia sudah menggalas tugasnya dengan sangat baik.

"Tetapi bukan mudah untuk memiliki prestasi serta kepantasan dan kemudian mengekalkannya. Saya merasai kekecewaannya serta pasukan kerana saya pernah melaluinya.

"Max mencipta jurang yang besar dan segala-galanya berjalan dengan lancar untuknya. Nasihat saya kepada Ferrari adalah terus berusaha dan tidak mudah mengalah," katanya.

Hamilton menamatkan perlumbaan di tempat kedua dekat Perancis yang juga podium keempa berturut-turut ketika pasukannya, Mercedes menunjukkan tanda-tanda kebangkitan selepas permulaan musim yang hambar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 9:43 AM