IBRAHIM mengakui semangatnya begitu berkobar-kobar untuk bergelar juara keseluruhan ARRC dan MSBK. FOTO Ihsan Ibrahim Norrodin
IBRAHIM mengakui semangatnya begitu berkobar-kobar untuk bergelar juara keseluruhan ARRC dan MSBK. FOTO Ihsan Ibrahim Norrodin
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Impian pelumba motosikal berbakat, Ibrahim Norrodin untuk menggegar litar mungkin tidak kesampaian lagi tahun ini apabila penganjur mengumumkan penundaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Ibrahim yang juga adik pelumba negara, Adam kini mengakui tidak sabar untuk beraksi di pentas perlumbaan terutama selepas melihat abangnya itu meraih podium di dua perlumbaan Kejuaraan Motosikal Eropah CEV di Portugal dan Valencia.

Biarpun tidak dapat menyambut hari raya bersama-sama dengan abangnya itu, kejayaan Adam menduduki podium membanggakan keluarga di tanah air.

Ia boleh mengubati kerinduan keluarga apabila berjaya melihat kejayaan Adam yang berjaya menduduki podium sebanyak dua kali itu.

Sementara itu, Ibrahim mengakui semangatnya begitu berkobar-kobar untuk bergelar juara keseluruhan ARRC dan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) selepas tahun lalu dua kejuaraan itu juga di batalkan, namun tahun ini dia mungkin sekali lagi perlu menangguhkan hajatnya itu.

"Kita memang tak tahu Covid-19 ini sampai bila, tapi saya harap sangat KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MKN (Majlis Keselamatan Negara) akan membenarkan pelumba negara ke luar negara ataupun membenarkan pelumba Asia yang lain datang ke negara ini untuk berlumba jika kes Covid-19 dapat dikawal.

"Tahun ini saya harap dapat muncul juara keseluruhan dalam MSBK dan ARRC selepas tahun lalu saya tak ada peluang untuk mendapatkan gelaran itu kerana penundaan perlumbaan," kata pelumba SIX ZK Racing Team itu.

Kaki dan tangannya semakin 'gian' untuk berlumba, namun sekali lagi terpaksa menunggu selepas perlumbaan ARRC yang sepatutnya berlangsung pada Jun ini sekali lagi ditunda berikutan kes Covid-19 yang mencecah angka tinggi.

Ibrahim berkata, dia kini hanya boleh meneruskan latihan seperti biasa di Litar Go Kart Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kerana jika berehat terlalu lama daripada latihan ia akan memberi kesan kepada skil tunggangan nanti.

Ibrahim yang pernah berlumba bersama Adam dalam satu pasukan yang sama iaitu SIC ZK Racing Team menjuarai ketiga-tiga saingan MSBK tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 11:16 PM