ADAM berharap dapat naik podium pada perlumbaan di Litar Sepang.
ADAM berharap dapat naik podium pada perlumbaan di Litar Sepang.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba ONEXOX BMW TKKR Team, Adam Norrodin mahu memastikan dapat menaiki podium pada dua perlumbaan di Pusingan 2, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), bermula esok.

Bekas pelumba di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dan Kejuaraan Eropah (CEV) itu percaya pengalaman berlumba di Sepang dapat membantunya untuk memenuhi impian mendominasi kelas Asian Superbike 1000cc (ASB1000).

"Seperti pelumba Malaysia lain, saya sudah arif dengan selok belok Litar Sepang. Harap dengan segala pengalaman yang ada, dapat membantu untuk cuba menaiki podium.

"Ia sememangnya bukan perkara mudah kerana barisan pelumba lain pasti mahu menamatkan perlumbaan di kedudukan podium, tetapi saya percaya pasukan dan saya sudah bersedia sepenuhnya untuk Pusingan 2," katanya.

Kesungguhan Adam itu didorong keputusan kurang memberangsangkan pada Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand, Mac lalu yang menyaksikannya menamatkan kedua-dua perlumbaan ketika itu di kedudukan ketujuh.

Menurutnya, beberapa masalah berlaku ketika itu iaitu banyak kru pasukan didapati positif Covid-19.

"Jadi kami kekurangan kru dan saya hanya dapat menggunakan kru sedia ada untuk mempersiapkan jentera.

"Kali ini, saya akan mlemperoleh kru lengkap dan harap mereka dapat membantu saya untuk menaiki podium," katanya.

Selepas berakhir Pusingan 1, Adam kini menduduki tempat keenam keseluruhan dengan meraih 18 mata manakala rakan sepasukannya yang juga juara bertahan ASB1000, Azlan Shah Kamaruzaman di kedudukan ke-10 dengan mengumpul 10 mata.

Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi dari pasukan Honda Asia-Dream Racing with Showa memimpin kedudukan pelumba dengan mengumpul 45 mata selepas memenangi Perlumbaan 1 dan podium kedua pada Perlumbaan 2 di Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 2:11 PM