BOTTAS bakal meninggalkan Mercedes. FOTO AFP
BOTTAS bakal meninggalkan Mercedes. FOTO AFP
Agensi

London: Mercedes mungkin menyingkirkan Valtteri Bottas sebelum penghujung musim, menurut laporan hari ini.

Pelumba Finland itu sudah lima tahun bersama Mercedes selepas berpindah dari Williams untuk bergandingan dengan Lewis Hamilton pada 2017.

Tetapi pasukan terbabit kini dilaporkan mula hilang kepercayaan ke atas pelumba berusia 31 tahun itu sekaligus membuka peluang kepada bintang Williams, George Russell yang menjadi sebahagian daripada program pelumba muda mereka.

Bottas menduduki tempat kedua pada dua Kejuaraan Pemandu terakhir namun itu belum memuaskan hati pengurusan Mercedes yang mengharapkan kejayaan lebih baik.

Bottas menamatkan kedudukan Grand Prix Portugal di tempat ketiga walaupun bermula di petak utama dan menurut sumber dalaman pasukan: "Ramai mula tidak senang dengan Valtteri. Dia gagal menepati harapan pasukan, tidak seperti ditunjukkan Russell di Bahrain."

Bottas menjuarai dua perlumbaan sejak menyertai Mercedes termasuk dua kemenangan musim lalu.

Russell pula makin menyerlah sejak menggantikan Hamilton di GP Sakhir tahun lalu. Pelumba berusia 23 tahun itu tidak bernasib untuk menjuarai perlumbaan dan dia dijangka menjadi anggota penuh pasukan musim depan walaupun Bottas berjaya meningkatkan prestasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 8:04 PM