HAFIZH lega raih mata di Le Mans. FOTO Ihsan NTS RW Racing GP
HAFIZH lega raih mata di Le Mans. FOTO Ihsan NTS RW Racing GP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: "Syukur Alhamdulillah. Rezeki Syawal," tulis Hafizh Syahrin Abdullah dalam laman sosialnya selepas dimaklumkan meraih satu mata berharga pada aksi perlumbaan GP Le Mans.

Hafizh meraih satu mata berharga selepas Lorenzo Dalla Porta hilang kelayakan kerana melanggar syarat perlumbaan.

Mata yang diraih Porta ditarik semula dan ini bermakna Hafizh yang berkedudukan terakhir untuk mata kedudukan perlumbaan Moto2 di Le Mans meraih satu mata berharga.

Berita itu pasti menggembirakan pelumba negara itu selepas jenteranya pada perlumbaan yang berlangsung itu mengalami masalah teknikal yang menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16 biarpun pada satu ketika berada di posisi enam terbaik.

Porta menduduki tempat ke-11 semasa perlumbaan Moto2 Le Mans dan berjaya mendapatkan lima mata berharga.

Namun kegembiraannya untuk meraikannya ternyata tidak lama apabila di periksa oleh FIM jentera Italtrans Racing Teamnya didapati terlalu ringan semasa pemeriksaan teknikal.

Selepas perlumbaan Moto2, pelumba akan ditimbang bersama dengan jentera mereka, di mana kombinasi mesti berat sekurang-kurangnya 217 kilogram (kg).

Porta dan mesin Kalex miliknya hanya seberat 216 kg, sekilo terlalu ringan dan akibatnya beliau akan hilang kelayakan sewaktu perlumbaan.

Oleh kerana hilang kelayakan ini, pelumba yang menamatkan perlumbaan dari P12 kesemuanya mendapat tempat untuk kenaikan satu kedudukan dan ini menjadi berita baik untuk Hafizh serta pasukan NTS RW Racing GP.

Pelumba Malaysia akan bergerak dari tempat keenam belas ke kelima belas dan tempat itu adalah tempat terakhir untuk mendapatkan satu mata yang berharga dan yang pertama bersama pasukan RW Racing GP dan jentera NTS yang berasal dari Jepun.

Hafizh kini dilihat semakin serasi dengan jenteranya dan apa yang dipamerkan di Le Mans memberi satu petanda positif buat pelumba negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 12:06 AM