Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas perkhabaran mendukacitakan mengenai pelumba moto3 negara, Khairul Idham Pawi yang tidak disambung kontraknya bersama Petronas Sepang Racing Team, mungkin berita terbaru Hafizh Syahrin Abdullah akan kembali menceriakan peminat permotoran negara.

Hafizh dijangka akan memaklumkan pasukan baru yang akan disertainya sedikit masa lagi dengan proses perbincangan sudah memasuki fasa akhir.

Pengurusnya, Razmin Masli Abdul Razak memaklumkan perbincangan mengenai karier Hafizh untuk tahun depan masih berjalan selepas pasukannya Aspar Team tidak menyambung kontraknya.

''Insya-Allah bila semuanya sudah pasti, kami akan memaklumkan kepada semua mengenai pasukan baru Hafizh.

''Mungkin dalam masa terdekat ini kita akan tahu pasukan mana yang akan Hafizh wakili. Apa yang boleh saya maklumkan ketika ini, dia akan meneruskan cabaran dalam moto2,'' katanya.

Terdahulu, Aspar Team melengkapkan barisan pelumbanya bagi saingan Moto2 musim depan dengan mengangkat pendahulu kelas Moto3 2020, Albert Arenas ke pasukan kelas pertengahan itu.

Arenas bakal bergandingan dengan senegaranya, Aron Canet. Ia bermakna kontrak Hafizh bersama pasukan itu tidak dilanjutkan dan hasrat untuk menyaksikan dia beraksi bersama pasukan negara Petronas SRT juga tidak mungkin direalisasikan kerana pasukan itu juga sudah melengkapkan senarai pelumba mereka.

Kini persoalannya, pasukan manakah bakal Hafizh wakili dan semoga kelibatnya akan terus dapat dilihat dan menjadi pelumba tunggal negara mengibarkan cabaran di kejohanan dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 2:30 PM