KHAIRUL Idham akan beraksi pada musim terakhir bersama PETRONAS Sprinta Racing tahun ini. FOTO PETRONAS SRT
KHAIRUL Idham akan beraksi pada musim terakhir bersama PETRONAS Sprinta Racing tahun ini. FOTO PETRONAS SRT
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Khairul Idham Pawi masih lagi seorang pelumba yang kompetitif dan dia bersama seorang lagi pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah perlu terus diberi peluang berlumba.

Sayang andai bakat yang dimiliki oleh mereka itu dibiarkan begitu saja kerana Khairul Idham yang terkenal dengan julukan Super KIP itu sudah membuktikan dia pernah menakluk dunia.

Itu pandangan bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin yang mengakui sedih dengan situasi yang dialami oleh Super KIP ketika ini.

Katanya, situasi yang Super KIP alami ketika ini dengan kecederaan dan berita yang diumumkan oleh pasukannya PETRONAS Sepang Racing Team (SRT) adalah sukar untuk dia memberi satu keputusan yang baik pada baki empat perlumbaan akan datang.

"Situasi yang KIP alami ini sama seperti yang pernah saya lalui sebelum ini. Pasukan SRT perlu mengambil langkah seterusnya dan memikirkan cara bagaimana untuk memastikan pelumba Malaysia kita dapat berjaya bergelar juara dunia.

"KIP perlukan sokongan daripada pasukan. Ketika ini banyak kesalahan pergi kepada KIP. Susah untuk saya cakap. Banyak perkara sebenarnya perlu diperbaiki.

"Daripada apa yang saya lihat kebanyakan pelumba yang masuk ke dalam pasukan itu gagal. Saya tidak sepatutnya cakap macam ini tapi saya rasa sedih dengan KIP dan saya tak pasti kenapa semua itu berlaku dan kenapa pelumba kita tak boleh menyerlah.

"KIP seorang pelumba yang sangat baik. Dia pernah menang GP dan ada rekod yang baik di MotoGP. Berita yang diumumkan itu memang mengejutkan ramai orang," katanya.

Zulfahmi pernah mewarnai kancah kejohanan dunia dalam saingan Moto3 dari 2012 hingga 2015. Dia turut diberi peluang beraksi dalam Moto2 pada 2018 menggunakan jentera Kalex bersama SIC Racing Team.

Pencapaian terbaik pelumba negara itu adalah menaiki podium sebagai naib juara di GP Malaysia pada 2012 dalam kategori Moto3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 6:43 PM