SUNI mengalami masalah buah pinggang dan doktor menjangkakan dia tidak mampu bertanding lagi. FOTO AFP
SUNI mengalami masalah buah pinggang dan doktor menjangkakan dia tidak mampu bertanding lagi. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Lebih setahun selepas doktor menyatakan dia mungkin tidak dapat bertanding lagi, juara bertahan gimnastik Olimpik bagi acara all-around, Suni Lee berpeluang menambah koleksi pingat emas di Paris 2024.

Biarpun tumpuan menjelang temasya ittu lebih fokus kepada Simone Biles yang kembali ke gimnastik elit, perjalanan Suni kembali ke sukan itu mungkin sama seperti cabaran dihadapi rakan sepasukannya itu.

Suni, 21, yang menang pingat emas all-around di Tokyo 2020, tiga tahun lalu selepas Simone menarik diri secara tiba-tiba kerana isu kesihatan mental, didapati mengalami dua masalah buah pinggang pada awal 2023.

"Doktor saya menyatakan dia tidak menjangka saya akan dapat menyertai gimnastik semula," kata Suni kepada media, awal tahun ini.

"Jadi, dapat berada di sini sudah satu pencapaian buat saya dan saya bangga dengan diri sendiri."

Suni meraih tiket ke Paris 2024 di ujian percubaan AS di bandar kelahirannya, Minneapolis apabila menduduki tangga kedua di belakang Simone dengan 111.675 mata, bulan lalu.

"Saya sangat gembira kerana tidak pernah mengalah," kata Suni mengenai prestasinya.

"Banyak kali saya terfikir untuk bersara dan meninggalkan sukan kerana saya fikir tidak mampu untuk sampai ke tahap ini lagi," katanya yang enggan mengulas mengenai penyakitnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 12:43 PM