SKUAD ragbi Terengganu berpeluang muncul juara di tempat sendiri.
SKUAD ragbi Terengganu berpeluang muncul juara di tempat sendiri.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan ragbi Terengganu idam mempertahankan gelaran juara kategori terbuka lelaki pada Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan yang bermula Julai depan.

Turut menjadi impian bergelar juara skuad rabgi dari Pantai Timur itu adalah bagi kategori wanita bawah 21 tahun.

Setiausaha Kehormat Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT), Wan Mohd Tarmizi Wan Jusoh berkata, impian merangkul dua gelaran juara itu adalah realistik berdasarkan prestasi semasa pemain.

"Pada tahun lalu kita berjaya merangkul kejuaraan bagi kategori terbuka lelaki dan bawah 21 tahun wanita manakala bawah 21 tahun lelaki kita gagal muncul juara.

"Jadi pada edisi kali ini, kita menyasarkan sekurang-kurangnya mempertahankan dua gelaran itu selain mengintai peluang juara bagi kategori lelaki bawah 21 tahun.

"Dengan prestasi terkini pemain serta persediaan rapi dilakukan barisan kejurulatihan selain kejohanan itu bakal berlangsung di tempat sendiri, peluang buat kami untuk melakar kejuaraan cerah.

"Bagaimanapun ianya juga bergantung kepada corak permainan pemain pada hari perlawanan selain saingan pasukan lawan," jelas Wan Mohd Tarmizi yang bakal mempertaruhkan tiga kategori biarpun empat kategori termasuk terbuka wanita dipertandingkan.

Kejohanan itu bakal berlangsung selama tiga hari di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus bermula 12 Julai depan.

Penganjuran di Terengganu adalah kali kedua selepas tahun 2016 menerusi kerjasama erat antara Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 7:19 PM