NUR Aisyah bakal beraksi di Olimpik Paris 2024. FOTO NUR AISYAH MOHD ZUBIR
NUR Aisyah bakal beraksi di Olimpik Paris 2024. FOTO NUR AISYAH MOHD ZUBIR
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Jurulatih lebuhraya Malaysia, Amir Mustafa Rusli sudah merangka perancangan terbaik untuk Nur Aisyah Mohd Zubir termasuk akan berguru beberapa bulan di Eropah sebelum memulakan perlumbaan di temasya Olimpik Paris 2024.

Jelas Amir, Aisyah adalah pelumba lebuhraya wanita pertama yang akan beraksi di kejohanan terbesar dunia itu memerlukan persediaan rapi serta pengalaman di peringkat antarabangsa agar dia boleh memberi saingan kepada pelumba dari negara lain.

"Bermula bulan Mei sehingga Julai, mungkin kita akan ada latihan harian dan kem di Eropah tetapi lokasi belum pasti di mana. Hasil perbincangan sebelum ini bersama John Beasley, dia suruh ke Sepanyol tapi sekarang saya tengah melihat dan meneliti sikit mengenai perlumbaan dia dan bayangan perlumbaan Olimpik nanti.

"Aisyah dan pasukan akan terus pergi Eropah pada waktu itu (Mei-Julai) dan terus ke Olimpik. Tujuan kita berlatih di Eropah nanti, kita hendak berikan pendedahan lebih awal untuk Aisyah merasai suasana seakan-akan perlumbaan sebab kita hendak dia rasa cuaca dan suasana di sana selain membantu tingkatkan prestasinya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Tambah Amir lagi, sebelum mereka terbang ke Eropah, pelumba berusia 26 tahun itu akan memulakan latihan di Malaysia terlebih dahulu bersama-sama rakan sepelatih yang lain sebelum menyertai beberapa kejohanan utama di sekitar negara Asean.

"Dia (Aisyah) akan memulakan kayuhan bersama pasukan Malaysia di Jelajah Biwase, Vietnam (Februari), selepas itu kita akan menjalani pusat latihan di Chiang Rai, Thailand (Mac) dan sertai satu perlumbaan Jelajah Piala The Princess Maha Chakri Sirindhorn di Thailand (April)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 1:06 PM