PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic membalas pukulan pemain Hungary, Marton Fucsovics di suku akhir Wimbledon, semalam. FOTO AFP
PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic membalas pukulan pemain Hungary, Marton Fucsovics di suku akhir Wimbledon, semalam. FOTO AFP
AFP

London: Novak Djokovic mampu menempah tempat ke final ketujuh Wimbledon, esok, dengan inspirasi merangkul gelaran keenam di All England Club dan menyamai rekod 20 kejuaraan Grand Slam.

Pemain nombor satu dunia itu sudah pasti pilihan menewaskan lawan di separuh akhir, Denis Shapovalov, pemain Kanada yang ditewaskan enam kali daripada enam pertarungan sebelum ini.

Jika menang esok, pemain Serbia itu akan mara ke final Ahad ini menentang pemenang antara pemain Itali, Matteo Berrettini atau pemain Poland, Hubert Hurkacz, yang menyingkirkan juara lapan kali, Roger Federer di suku akhir.

Djokovic akan bermain separuh akhir ke-10 di Wimbledon dan ke-41 dalam kejohanan utama.

Tiada seorang pun dalam kalangan tiga pemain ke separuh akhir itu pernah mara sejauh ini, sebelum ini.

Hanya Berrettini pernah merasai pengalaman beraksi di separuh akhir di Grand Slam iaitu Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 2019.

Selepas melepaskan satu set dalam perlawanna pembukaan menentang pemain wild card dari Britain, Jack Draper, Djokovic langsung tidak dicabar selepas itu.

"Saya merasakan bermain, memukul bola dengan baik sepanjang kejohanan dan berada di tempat dimahukan iaitu separuh akhir," kata Djokovic, 34.

"Tidak banyak menggunakan tenaga. Sekarang saya perlu konsisten daripada mata pertama sehingga terakhir pada perlawanan akan datang dan diharapkan satu lagi pada Ahad ini."

Jika menang di separuh akhir esok, dia bukan saja hampir memenangi kejuaraan keenam di Wimbledon, tetapi menjadi pemain lelaki ketiga dalam sejarah menang empat gelaran Grand Slam dalam setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 11:39 PM