DJOKOVIC bersalaman dengan Musetti selepas tamat perlawanan.
DJOKOVIC bersalaman dengan Musetti selepas tamat perlawanan.
AFP

Monte Carlo: Novak Djokovic tersingkir di pusingan ke-16 Masters Monte Carlo selepas tewas mengejut kepada Lorenzo Musetti dengan tiga set awal pagi tadi.

Djokovic, juara dua kali di Principality pada 2013 dan 2015 berdepan masalah servis dan tewas 4-6, 7-5, 6-4 di atas gelanggang basah dan berangin di Cote d'Azur.

"Jujurnya perasaan saya sangat teruk selepas bermain seperti ini. Tetapi tahniah kepadanya. Dia kekal bertahan ketika saat penting," kata Djokovic.

Musetti, pemain ranking ke-21 mara ke suku akhir dan akan menentang rakan senegara Jannik Sinner yang menyelamatkan mata akhir sebelum menewaskan pemain Poland, Hubert Hurkacz 3-6, 7-6 (8/6), 6-1.

Djokovic gagal melepasi saingan lapan terakhir di Monte Carlo sejak 2015.

"Saya tak fikir ia satu kebetulan tetapi perasaan saya sangat teruk sekarang kerana saya tewas, itu sahaja," kata Djokovic.

"Ia bukan hari saya, jadi saya tiada 'mood' untuk bercakap."

Finalis Terbuka Perancis Casper Ruud turut tersingkir selepas tewas 6-1, 7-6 (8/6) kepada pemain Jerman Jan-Lennard Struff yang menewaskan pemain Norway itu dalam semua tiga pertemuan mereka sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 11:25 AM