YUSOF (tengah)  menunjukkan pingat gangsa yang dimenanginya sambil diperhatikan Sallehudin. FOTO BERNAMA
YUSOF (tengah) menunjukkan pingat gangsa yang dimenanginya sambil diperhatikan Sallehudin. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menjadi pilihan utama mengisi slot pelumba lelaki ke Sukan Paralimpik 2024 di Paris, dijadual berlangsung dari 28 Ogos-8 September ini.

Jurulatih berbasikal para negara, Sallehudin Mohd Noh berkata, Mohamad Yusof kian pasti menyambar slot diperolehi Malaysia susulan prestasi memberangsangkan sejak kebelakangan ini, sekali gus membuat penampilan kedua di Sukan Paralimpik selepas Tokyo 2020.

"Memang kita namakan Mohamad Yusof sebagai calon kuat kita untuk ke Sukan Paralimpik 2024, namun pengumuman rasmi hanya dibuat selepas tempoh kelayakan berakhir pada 30 Jun ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Atlet berusia 26 tahun itu mencipta kejayaan membanggakan dengan merangkul pingat gangsa ujian masa 1 kilometer (km) lelaki C1 (kecacatan fizikal) pada Kejohanan Trek Berbasikal Para Dunia 2024 di Rio de Janeiro, Brazil, minggu lalu.

Sebelum itu, pelumba dari Kuala Kangsar itu turut mencipta sensasi dengan menjadi wakil negara pertama menaiki podium pada siri pertama Piala Dunia Berbasikal Para Lebuh Raya 2024 di Adelaide, Australia, Januari lalu dengan merangkul gangsa acara ujian masa lebuh raya.

Dalam pada itu, Sallehudin berkata, Mohamad Yusof mampu bersaing dalam beberapa acara antaranya ujian masa lelaki 1km C1-3, kejar mengejar 3,000 meter (m) lelaki C1 dan lebuh raya, sekiranya sah beraksi di Paris kelak.

Bagaimanapun, beliau berkata, peluang lebih cerah buat anak buahnya itu merangkul pingat dalam kejar-mengejar 3,000m lelaki C1 berbanding acara lain.

"Acara yang Mohamad Yusof menang gangsa di Brazil tempoh hari sedikit berbeza di Paris 2024 nanti kerana ia menggabungkan kelas C1 hingga C3, jadi kita perlu lihat peluang kita balik.

"Acara kejar-mengejar 3,000m lelaki C1 pula tidak digabungkan dengan kelas lain, jadi peluang mungkin ada dan harap beliau dapat meningkatkan kayuhan bersaing dengan pelumba negara lain," katanya.

Sallehudin sebelum ini berkata selain slot lelaki, Malaysia mendapat satu slot wanita dan berharap akan menambah lagi kuota pelumba untuk beraksi di temasya sukan berprestij dunia itu menerusi dua lagi siri kejohanan Piala Dunia Berbasikal Para Lebuh Raya, Mei ini.

Siri kedua kejohanan itu bakal berlangsung di Ostend, Belgium dari 2 hingga 5 Mei diikuti pusingan terakhir di Maniago dari 16 hingga 19 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 5:03 PM