MEGAT D Shahriman enggan terlalu yakin raih banyak emas di Tokyo.
MEGAT D Shahriman enggan terlalu yakin raih banyak emas di Tokyo.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Walaupun dilihat mampu meraih lebih banyak pingat di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak mahu berganjak daripada sasaran awal iaitu memenangi tiga pingat emas pada kejohanan terbabit.

Presiden MPM yang juga ketua kontinjen negara ke Paralimpik Tokyo, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya tidak mahu terlalu yakin boleh membawa pulang lebih banyak pingat emas walaupun beberapa atlet dilihat berada pada prestasi terbaik.

Beliau berkata, ketika ini fokus hanya mahu memastikan atlet paralimpik negara tidak berhadapan sebarang masalah terutama membabitkan soal keselamatan yang boleh menyebabkan mereka terlepas beraksi di temasya itu.

Katanya, persediaan semua atlet berjalan lancar dengan masing-masing giat menjalani latihan terakhir sekali gus ada kejutan bakal ditampilkan mereka kelak.

"Saya tidak mahu berganjak daripada sasaran asal iaitu tiga emas walaupun sedia maklum ramai yang mengatakan barisan atlet paralimpik negara boleh melakukan lebih baik lagi. "Sekarang ini, mereka dalam persiapan akhir merangkumi fizikal dan mental selain turut memastikan keselamatan atlet berkenaan lebih terjamin daripada penularan Covid-19.

"Namun, jika mereka boleh membawa lebih lagi pingat emas, saya menganggap ia adalah bonus kepada kita dan hadiah untuk rakyat Malaysia," katanya ketika dihubungi Arena Metro. Terdahulu, kontinjen negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 diletakkan sasaran untuk memenangi tiga pingat emas sekali gus mengulangi pencapaian dilakar lima tahun lalu di Paralimpik Rio 2016.

Lima atlet iaitu dua atlet olahraga, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly selain pemain badmiton para, Cheah Leik Hou; atlet memanah, S Suresh dan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin antara yang dilihat berpotensi bagi merealisasikan sasaran berkenaan di Tokyo kelak.

Sebagai rekod, pada edisi Rio 2016, kontinjen para negara berjaya membawa pulang tiga emas dan satu gangsa.

Emas disumbangkan Ziyad dalam acara lontar peluru (T20/F20), Abdul Latif (lompat jauh T20/F20) dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 meter T36/F36) manakala gangsa diraih Siti Radiah Ismail (lompat jauh wanita T20/F20).

Seramai 22 atlet termasuk empat alet wanita akan menggalas cabaran negara dalam sembilan jenis sukan pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo yang bermula 24 Ogos hingga 5 September ini.

Malaysia yang mengambil bahagian pada Sukan Paralimpik sejak 1972 dan telah mengumpul 11 pingat iaitu tiga emas, dua perak dan enam gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 10:30 PM