Hamidah (dua dari kanan) bersama Azizul ketika berada di Melbourne, Australia pada 2009. FOTO Ihsan Hamidah Ashari.
Hamidah (dua dari kanan) bersama Azizul ketika berada di Melbourne, Australia pada 2009. FOTO Ihsan Hamidah Ashari.
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya tumpang bangga dengan kejayaan beliau meraih pingat perak buat negara di Olimpik Tokyo 2020," kata bekas Konsul Jeneral Malaysia di Perth, Australia, Hamidah Ashari, 67.

Hamidah berkata, beliau mengikuti dengan penuh minat perkembangan jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang itu.

"Saya pernah menemui pasukan pelumba basikal negara termasuk Azizulhasni ketika mereka menyertai kejohanan lumba basikal di Melbourne, Australia pada 2009.

"Ketika itu dia masih muda lagi dan saya melontarkan kata-kata semangat serta cabaran kepada Azizulhasni supaya dia menanam tekad untuk menghadiahkan pingat buat negara di kejohanan tertinggi dunia seperti Sukan Olimpik.

"Beliau (Azizulhusni) ternyata berjaya menyahut cabaran itu apabila memenangi pingat perak buat negara di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hamidah yang kini menetap di Shah Alam berkata, beliau akui teruja dengan kejayaan pelumba berusia 33 tahun yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu walaupun bentuk badannya kecil berbanding pelumba dari negara lain.

"Dari dulu, saya lihat semangat dia kuat dan berjiwa besar setiap kali perlumbaan disertainya dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

"Saya bersyukur kepada Allah bila dapat tahu Azizulhasni menang pingat perak di Tokyo.

"Seharusnya kejayaan beliau menjadi kebanggaan negara dan contoh kepada atlet lain walaupun sasaran awal untuk mendapatkan pingat emas," katanya.

Pada perlumbaan final acara keirin di Velodrom Izu Tokyo Ahad lalu, Azizulhasni atau Jijoe yang berasal dari Dungun, menghadiahkan pingat perak buat negara selepas menduduki tempat kedua.

Pelumba Great Britain, Jason Kenny mempertahankan pingat emas dimenanginya di Olimpik Rio 2016 sementara Harie Lavreysen (Belanda) meraih gangsa.

Untuk rekod, Azizulhasni sebelum ini pernah meraih gangsa di Olimpik Rio 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 5:45 PM