NADAL belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
NADAL belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
AFP

Barcelona: Harapan Rafael Nadal kembali ke Roland Garros untuk memburu gelaran Terbuka Perancis ke-15 tidak kesampaian selepas pemain berusia 37 tahun itu menarik diri daripada Masters Monte Carlo.

Juara Grand Slam 22 kali itu dijangka tampil semula di Jelajah ATP selepas kali terakhir beraksi di Brisbane pada Januari.

"Malangnya saya perlu beritahu anda yang saya tidak dapat beraksi di Monte Carlo. Tubuh saya tidak membenarkannya," kata jaguh veteran Sepanyol itu di media sosial.

Pemenang 11 kali Monte Carlo itu terlepas hampir keseluruhan musim 2023 akibat kecederaan dan hanya beraksi di Brisbane International musim ini.

Namun kecederaan pangkal pahanya berulang ketika tewas di tangan Jordan Thompson pada suku akhir dan terpaksa melupakan Terbuka Australia, Doha dan Indian Wells.

Kedudukan pakar gelanggang tanah liat itu merosot ke tangga 646 dunia dan dijangka menggunakan ranking dilindungi untuk undian utama di Monte Carlo.

Nadal menjadikan Monte Carlo sebagai kejohanan pemanas badan menghadapi Terbuka Perancis yang dimenanginya 14 kali dan berharap dapat bermain untuk kali terakhir.

Kali terakhir daripada 11 kemenangannya di Monte Carlo pada 2018, tewas di separuh akhir 2019, suku akhir 2021 dan terlepas edisi 2020, 2022 dan 2023. Daripada 11 kemenangan itu, disusuli sembilan kemenangan di Roland Garros.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 10:50 AM