ARUNDELL beraksi cemerlang bersama Racing 92. FOTO AGENSI
ARUNDELL beraksi cemerlang bersama Racing 92. FOTO AGENSI
AFP

Paris: Apabila England berkunjung ke Lyon untuk berdepan Perancis pada perlawanan penting Kejohanan Enam Negara, Sabtu ini, mereka kehilangan empat pemain yang membantu menduduki tempat ketiga di Piala Dunia Ragbi, Oktober lalu.

Tonggak pasukan iaitu Dave Ribbans, Jack Willis, Joe Marchant dan Henry Arundell meninggalkan kelab Inggeris untuk menyertai kelab French Top 14 dan kini tidak layak mewakili pasukan Steve Borthwick.

Sebelum ini, pemain ternama Inggeris seperti Jonny Wilkinson, Steffon Armitage dan Andrew Sheridan turut membuat tindakan sama dan masalah kewangan melanda ragbi di negara itu memungkinkan lebih ramai pemain berpindah.

Arundell berpindah ke kelab di Paris, Racing 92 selepas London Irish mengalami masalah kewangan sama seperti kelab Premiership, Wasps dan Worcester Warriors serta kelab bahagian dua, Jersey Reds.

Gaji pemain di Premiership ketika ini adalah sekitar AS$6.4 juta (RM30 juta) berbanding AS$11.7 juta (RM55 juta) di dua liga utama Perancis.

Pemain sayap, Arundell, 21, melakukan lapan try dalam 13 perlawanan untuk Racing setakat ini apabila beraksi di samping pemain Afrika Selatan yang muncul juara dunia dua kali, Siya Kolisi.

Selain itu, dia perlu berdepan pemain sayap hebat lain seperti duo Itali, Ange Capuozzo dan Teddy Thomas.

"Tarikannya adalah mencabar diri sendiri untuk berdepan pemain terbaik dunia kerana jika anda mahu jadi yang terbaik, anda perlu menewaskan atlet terbaik," kata Arundell.

"Walaupun sudah hampir enam bulan berada di Perancis, saya masih mengatakan 'wow' pada setiap perlawanan," katanya.

Pada hujung 2022, Willis hilang pekerjaan selepas Wasps berdepan masalah, namun kariernya kembali menyinar apabila menyertai juara 22 kali Perancis, Toulouse.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 11:50 AM