DOMINICI beraksi di tiga Piala Dunia bersama Perancis. FOTO AFP
DOMINICI beraksi di tiga Piala Dunia bersama Perancis. FOTO AFP
AFP

Paris: Bekas pemain ragbi antarabangsa Perancis, Christophe Dominici yang berusia 48 tahun ditemui mati di sebuah taman berdekatan Paris, menurut polis semalam.

Saksi menyatakan Dominici yang beraksi 67 kali untuk negaranya terjun daripada bumbung bangunan tidak digunakan lagi di taman Saint-Cloud.

Dominici yang hanya berketinggian 1.72m dan berat 82kg melakukan 25 try dalam 67 Test untuk Perancis termasuk lapan try dalam tiga Piala Dunia.

Dia terkenal dengan kepantasan larian yang mampu mengelirukan pertahanan lawan dan kejayaannya paling diingati ialah menewaskan gergasi ragbi, New Zealand pada separuh akhir Piala Dunia 1999 menerusi try babak kedua yang membawa Perancis ke final.

Dominici menikmati karier kelab yang gemilang, pertamanya bersama Toulon, bandar kelahirannya dan kemudian bersama kelab berpangkalan di Paris, Stade Francais yang menjuarai kejohanan Perancis lima kali.

Selepas persaraannya, ketua jurulatih kebangsaan, Bernard Laporte memberi peranan jurulatih kepada Dominici selain menjadi pengulas media.

Bagaimanapun, kehidupan di luar padang, Dominici berdepan pelbagai tekanan. Dalam catatan autobiografinya pada 2007, dia mengakui kehilangan seseorang menyebabkan dia tertekan selain sering didera ketika zaman kanak-kanak.

Persekutuan Ragbi Perancis berkata Dominici meninggalkan impak besar kepada seluruh generasi ragbi.

"Hari ini, keluarga ragbi kehilangan legenda dan pemain berkarisma,'' kata jurucakap dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 6:05 PM