LOGO Kejohanan Memanah Dalam Dewan Antarabangsa Selangor 2024
LOGO Kejohanan Memanah Dalam Dewan Antarabangsa Selangor 2024
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Seramai 1,500 pemanah tempatan dan antarabangsa akan menyertai Kejohanan Memanah Dalam Dewan Antarabangsa Selangor 2024 (SINAR 2024) yang bermula pada 2 hingga 4 Februari depan.

Persatuan Memanah Selangor (Selar) dalam satu kenyataan memaklumkan kategori yang dipertandingkan adalah Recurve, Compound, Tradisional dan Barebow yang turut membabitkan atlet memanah peringkat pembangunan.

Turut dipertandingkan adalah cilik Kategori Recurve Bawah 12 dan 15 tahun, sementara kategori lain adalah terbuka lelaki dan wanita.

Pada masa sama, pemanah tempatan juga bakal bersaing dengan atlet dari Indonesia, China, India dan Singapura, manakala pegawai teknikal dan hakim pula adalah mereka yang berpengalaman serta diiktiraf oleh badan memanah dunia, World Archery (WA).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Mohamad Norwafi Sahroni berkata, kejohanan itu dianjurkan melalui usaha kolaborasi untuk memperkukuhkan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat, agensi kerajaan dan swasta.

"Selar amat berbesar hati kerana kejohanan kali ini berjaya melibatkan peserta dari pelbagai latar belakang dan budaya serta berharap SINAR 2024 dapat merapatkan jurang ke arah menggalakkan integrasi sosial, pembangunan ekonomi, keamanan, persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang pelbagai.

"Diharapkan dengan penganjuran SINAR 2024 dapat menyumbang dan mempertingkatkan mutu sukan memanah negara selain melahirkan bakat baharu yang mampu membawa cabaran negara ke peringkat antarabangsa," katanya.

Norwafi yang juga Presiden Selar yakin SINAR 2024 dapat memberi motivasi dan inspirasi dalam menyokong pembangunan sukan memanah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Kejohanan ini adalah anjuran Selar dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dan bakal berlangsung di Dewan C, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 10:53 PM