REAKSI Djokovic selepas tamat perlawanan menentang Fritz.
REAKSI Djokovic selepas tamat perlawanan menentang Fritz.
AFP

Melbourne: Novak Djokovic mara ke separuh akhir Terbuka Australia selepas menewaskan Taylor Fritz dalam cuaca panas hari ini sekali gus berpeluang meraih gelaran Grand Slam ke-25.

Pemain nombor satu dunia berusia 36 tahun dari Serbia itu tampak sukar menyesuaikan diri dalam suhu tinggi pada awal permainan tetapi masih mampu menang 7-6 (7/3), 4-6, 6-2, 6-3 dan akan menentang Jannik Sinner atau Andrey Rublev untuk memburu tempat ke final Ahad ini.

"Keadaan sangat panas ketika matahari masih ada di atas kepala," kata Djokovic selepas tamat perlawanan di Rod Laver Arena yang berlanjutan tiga jam 45 minit.

"Saya kehilangan tenaga secara fizikal dan emosional. Namun saya kagum dengan Fritz selepas apa dipamerkan hari ini dan sepanjang kejohanan."

Kemenangan itu yang ke-33 berturut-turut Djokovic di Melbourne, bermula 2018. Dia tidak menyertai kejohanan terbabit pada 2022 susulan status vaksin koronavirusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 6:56 PM