Pemilik rekod kebangsaan lontar peluru Jonah Chang Rigan
Pemilik rekod kebangsaan lontar peluru Jonah Chang Rigan
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemilik rekod kebangsaan lontar peluru Jonah Chang Rigan pernah terfikir untuk meninggalkan dunia olahraga negara kerana tekanan diberikan keluarga berhubung isu elaun yang diterima olehnya.

Ia berikutan elaun yang dikatakan tidak berbaloi dengan pengorbanan menghabiskan masa di trek kerana tidak memiliki pendapatan tetap seperti mereka yang bekerja.

Oleh kerana itu, dia yang berasal dari Sarawak pernah memikirkan meninggalkan sukan itu tahun lalu.

"Saya beri tahu keluarga saya nak 'give up' (putus asa) kerana mahu bekerja. Saya orang Sarawak, kami kuat bekerja dari kecil sampai besar saya fikirkan kerja tapi bila dapat ke MSN (Majlis Sukan Negara) hanya dapat elaun yang kecil.

"Saya rasa sangat kecewa sampai hendak berhenti. Mengapa kami masih diberi elaun dan bukannya gaji, tak seperti orang berkerja di kedai serbaneka.

"Kami cedera pun tak ada siapa peduli tapi nasib baik kami boleh ke ISN (Institut Sukan Negara)," katanya mensasarkan melakukan balingan 18 meter (m) tahun ini.

Namun, akhirnya atlet yang akan beranjak ke usia 21 tahun Mac ini bersyukur, rintihan golongan atlet didengari dan kerjaya sebagai itu sudah boleh dijadikan sebagai karier yang memiliki pendapatan stabil.

Dia mewakili rakan seperjuangan mengucapkan terima kasih kepada Menteri, Hannah Yeoh kerana merealisasikan apa yang dinantikan atlet selama ini.

Mengikut rekod, nama Jonah menggegarkan arena olahraga negara apabila mencipta rekod baharu kebangsaan 17.67 meter (m) di Kejohanan Olahraga Antarabangsa Mokpo, Korea Selatan, Oktober tahun lalu.

Dia mengatasi rekod berusia 12 tahun milik Adi Alifuddin Hussin, 17.54m yang dicipta di Sukan Sea Palembang, Indonesia (2011).

Terdahulu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan bayaran elaun bulanan atlet yang berada di bawah Program Podium ditukar kepada gaji dan akan dinaikkan dengan minimum asas sebanyak RM1,500 sebulan.

Atlet yang berada di bawah program berkenaan akan turut menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Mereka bakal menandatangani kontrak selama dua tahun bermula bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 4:04 PM