DATUK Abidullah Salleh. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
DATUK Abidullah Salleh. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan menyenaraikan 18 atlet lelaki dan 12 atlet wanita dalam skuad kebangsaan sebagai persiapan menyertai kejohanan pada 2024.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, antara kejohanan bakal disertai termasuk Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai (Bangkok, Thailand dan Piala Dunia Sepaktakraw (Kuala Lumpur, Malaysia)

"Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN) pada 12 Disember lalu sudah bersetuju dan meluluskan cadangan PSM untuk menyenaraikan 30 atlet di dalam skuad Sepaktakraw Kebangsaan.

"Berdasarkan prestasi dan penilaian semasa, setakat ini seramai 14 orang atlet lelaki dan 12 atlet wanita tersenarai dalam skuad kebangsaan.

"Kekosongan empat orang atlet lelaki masih terbuka dan akan dipilih serta dipantau selepas Kejohanan Sepaktakraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-57 pada 22 hingga 28 Januari 2023 di Alor Setar, Kedah Darul Aman," katanya.

Menurut Abidullah, kesemua atlet yang terpilih itu bakal melaporkan diri pada 2 Januari 2024 di bawah Program Podium 2024.

"PSM yakin kombinasi atlet berpengalaman dan baru dapat membentuk sebuah pasukan yang kuat dan dinamik serta memiliki kemampuan tersendiri dalam menghadapi saingan pasukan negara lain.

"PSM turut menzahirkan ucapan terima kasih dan berbesar hati atas persetujuan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menubuhkan pasukan pelapis lelaki yang akan terdiri daripada 12 atlet muda sebagai pelan persiapan jangka panjang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PSM yakin dengan penubuhan pasukan itu, ia akan memberikan jaminan dalam melahirkan pemain bertaraf antarabangsa untuk memburu kejuaraan di Sukan Sea dan Sukan Asia kelak.

Skuad lelaki terdiri daripada Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Muhammad Zuhri bin Zain untuk tekong.

Manakala apit kanan pula adalah Mohamad Azlan Alias, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Muhammad Redwan Hakim Muhammad dan Muhammad Arief Danial Mohamad Arifin.

Apit kiri pula terdiri daripada Amirul Zazwan Amir, Farhan Adam, Muhammad Zaim Razali, Muhammad Lutfil Hadi Azmi dan Aidil Aiman Azwawi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 4:57 PM