MASA suntuk sukar untuk MOM buat rayuan. -FOTO NSTP
MASA suntuk sukar untuk MOM buat rayuan. -FOTO NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM), akur dengan keputusan tuan rumah, Kemboja yang menggugurkan sukan bina badan di saat akhir pada temasya Sukan Sea edisi ke-32 yang akan membuka tirainya Mei ini.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib berkata, dengan baki tempoh masa yang ada, ia agak mustahil untuk melihat sukan itu kembali dipertandingkan di Sukan Sea Kemboja meskipun pihaknya mengemukakan rayuan kepada pihak penganjur.

"Dalam jangka masa yang pendek ini, sukar untuk kita rayu untuk adakan apa-apa perubahan termasuklah untuk kita minta teruskan (sukan bina badan). Sebab alasan yang mereka beri taknak sukan bina badan menjejaskan Sukan Sea Kemboja namun tidak menjelaskan secara terperinci.

"Bagaimanapun untuk MOM, kita masih meneliti isu ini dan akan lihat sekiranya ada ruang (melakukan perubahan) dalam jangka masa yang pendek ini. Tetapi apa yang saya boleh katakan ia bukan mudah sebab ia melibatkan tuan rumah.

"Mungkin mereka ada isu yang tersendiri yang kita juga tidak tahu seperti isu tempat pertandingan dan sebagainya. Sebab kita juga tahu tuan rumah adalah penganjur baru jadi kita memahami isu-isu sebegini," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan atlet bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah melahirkan kekecewaanya dengan keputusan tuan rumah Kemboja menggugurkan sukan itu.

Syarul atau dikenali sebagai Mike memberitahu, dia banyak berkorban masa dan wang ringgit bagi mempersiapkan diri untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Hanoi tahun lalu.

Selain bina badan, Muay Thai turut digugurkan oleh pihak penganjur edisi kali ini dan digantikan dengan sukan tradisi Kemboja, Kun Khmer.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 12:49 PM