HANYA Rhodict pamer aksi cemerlang di Kejohanan Akuatik Dunia. FOTO AFP
HANYA Rhodict pamer aksi cemerlang di Kejohanan Akuatik Dunia. FOTO AFP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Satu bedah siasat bakal dilakukan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bagi mencari punca prestasi hambar di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukouka Jepun.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MS), Andy Low berkata, tujuan bedah siasat bukanlah untuk menuding jari kepada mana-mana pihak susulan pencapaian hambar itu.

Sebaliknya Andy menjelaskan, ia bagi mengenal pasti kelemahan dan kekurangan skuad negara di kejohanan untuk diperbaiki bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou yang dijadual berlangsung pada September depan.

"Saya yakin mana-mana atlet yang mengambil bahagian di kejohanan ini sudah tentu mahu menang dan tiada diantara mereka nak kalah. Saya rasa mereka sudah buat yang terbaik.

"Jadi selepas mereka balik, kita akan adakan mesyuarat cari punca kenapa prestasi kita merudum di kejohanan ini. Jadi kita akan tanya atlet dan jurulatih serta pihak yang terlibat bagi meningkatkan lagi prestasi di Sukan Asia nanti,"katanya.

Terdahulu, skuad terjun kebangsaan pulang dengan tangan kosong selepas sandaran utama Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri turut terkandas dalam acara masing-masing sebelum ini di kejohanan itu.

Pada edisi lalu di Budapest, Hungary Pandelela merangkul dua gangsa masing-masing dalam acara 10m platform wanita dan 10m platform seirama wanita bergandingan bersama Nur Dhabitah.

Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan kejayaan penerjun muda Bertrand Rhodict Lises untuk muncul sebagai atlet Malaysia yang pertama mengesahkan slot ke Olimpik, Andy memberitahu pihaknya bangga dengan pencapaian itu.

Justeru katanya, MAS akan memohon kepada jawatankuasa program Road To Gold (RTG) supaya mempertimbangkan untuk memasukkan Bertrand kedalam program itu yang dilihat mampu menaikkan lagi prestasinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 1:41 PM