GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Johannesburg: Seorang wanita Afrika Selatan yang mencuri AS$28 juta (kira-kira RM116.2 juta) daripada majikannya, dikenakan hukuman penjara 50 tahun oleh mahkamah di negara itu, Jumaat lalu.

Hildegard Steenkamp mengalihkan wang itu selama tempoh 13 tahun dari syarikat kesihatan tempat dia bekerja sebagai akauntan di wilayah Gauteng.

Steenkamp sebelum ini mengaku bersalah terhadap 336 tuduhan penipuan.

Dia tampil di hadapan seorang majistret yang mengatakan bahawa beliau tidak pernah terbabit dalam kes yang membabitkan pencurian jumlah yang begitu besar oleh seorang individu.

Majistret Phillip Venter berkata; "membayangkan bahawa seorang pekerja mencuri begitu banyak wang dari majikannya adalah sesuatu yang sukar dipercayai".

Alasan Steenkamp adalah bahawa suaminya yang kini sudah meninggal dunia, semasa hidup memaksanya dia mencuri wang. Venter membantah ini dan berkata "wanita itu melaksanakan tindakan itu sendiri".

Penyiasat forensik mendapati bahawa Steenkamp menggunakan wang itu untuk membiayai gaya hidup mewahnya yang membabitkan perjudian, pembelian perhiasan, dan melancong.

Dalam satu masa, dia menghabiskan AS$263,000 (kira-kira RM1.09 juta dalam satu malam di kasino.

Mahkamah juga mendengar bahawa Steenkamp menghabiskan hampir AS$1.6 juta (kira-kira RM6.64 juta) untuk perjalanan antarabangsa dan sering melawat Dubai.

Dia bekerja di syarikat itu antara tahun 2004 hingga 2017 sebelum meletakkan jawatan.

Steenkamp berjaya merancang pelan ini kerana diberi kuasa untuk menambah atau mengeluarkan kreditor dari pangkalan data syarikat, menurut polis Afrika Selatan.

Dia menambah suaminya sebagai kreditor dan mula mendeposit wang ke dalam akaunnya.

Steenkamp menyerahkan dirinya kepada pihak berkuasa pada tahun 2018 dan diberikan jaminan. Akhirnya, dia mengaku bersalah pada awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 11:48 AM