AKSI Eain Yow (baju putih) ketika bertemu Ibrahim Eikabbani dari Mesir, malam ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
AKSI Eain Yow (baju putih) ketika bertemu Ibrahim Eikabbani dari Mesir, malam ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari membuktikan kehebatannya apabila melangkah ke suku akhir Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2023 di Gelanggang Skuasy Kompleks Sukan Haji Mohd Said Seremban 2, sebentar tadi.

Pemenang pingat emas acara perseorangan dan berpasukan wanita di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China itu menang mudah ke atas pemain England, Alicia Mead, 11-4, 11-3 dan 12-10.

"Ini kali pertama saya bertemu dengannya, namun cabaran malam ini agak mudah meskipun dia cuba bangkit pada set ketiga.

"Saya gembira dengan kemenangan ini dan berharap dapat melakukan persembahan lebih baik pada peringkat suku akhir petang esok," kata Sivasangari.

Di peringkat suku akhir, Sivasangari yang tampil sebagai pilihan ketujuh kejohanan bakal berdepan dengan pemain Hong Kong, Ka Yi Lee, yang sebelum itu menewaskan pemain kebangsaan, Aifa Azman, 3-1.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan Ibrahim Eikabbani dari Mesir, 11-8,11-8 dan 11-8.

Di suku akhir, pemenang pingat emas Sukan Asia 2022 itu yang tampil selaku pilihan keempat, bakal bertemu lawan Perancis, Sebastian Bonmalais, yang juga pilihan keenam kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 9:49 PM