TUN Mohd Ali semasa majlis pelancaran Piala Governor dan Piala Toh Puan 2023 di Ayer Keroh. FOTO NAZRI ABU BAKAR
TUN Mohd Ali semasa majlis pelancaran Piala Governor dan Piala Toh Puan 2023 di Ayer Keroh. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Sebanyak 16 pasukan bola sepak bakal bersaing merebut trofi Piala Governor edisi kedua yang bakal membuka tirai 11 November depan di bandaraya Melaka.

Lebih menarik, 16 pasukan bola jaring turut berentap bagi merebut Piala Toh Puan yang julung kali diperkenalkan dalam misi penganjur mendedahkan saingan kompetitif buat semua pasukan bertanding.

Pengerusi kejohanan, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, selain menggilap bakat sukan, ia juga pentas bagi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman mendekati rakyat dalam aktiviti sukan.

Menurutnya, walaupun permintaan terlalu tinggi untuk menyertai pertandingan, namun hanya 16 pasukan dihadkan bagi kedua-dua acara berkenaan, bagaimanapun ia dijangka ditambah pada tahun hadapan.

"Empat venue pertandingan bagi Piala Governor iaitu Stadium Hang Tuah, Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) Seri Kota dan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang.

"Aksi bola jaring Piala Toh Puan pula berlangsung di Taman Seribu Bunga, Ayer Keroh yang bertujuan mempromosikan taman terbabit sebagai antara destinasi menarik untuk pelancong datang ke Melaka. Perlawanan akhir bagi kedua-dua kejohanan dijangka akan diadakan pada 1 Januari 2024," katanya.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Tun Mohd Ali dan Toh Puan Asmah di Taman Seribu Bunga, di sini, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 6:37 PM