ZAIDI Johari. FOTO Amir Mamat
ZAIDI Johari. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan Melaka menghadkan aktiviti sambutan Malam Ambang Tahun Baharu 2023 peringkat negeri yang akan disambut di Taman Seribu Bunga, di sini, 31 Disember ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari berkata, pihaknya bersetuju untuk meneruskan sambutan ambang tahun baharu terbabit menerusi beberapa aktiviti santai serta berbentuk kekeluargaan.

Bagaimanapun, katanya, aktiviti hiburan tidak dibenarkan kecuali pertunjukan bunga api sekiranya mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Sambutan itu (Malam Ambang Tahun Baharu 2023) tidak batal, cuma kita hadkan aktiviti. Tiada sebarang aktiviti hiburan, cuma yang boleh (dibenarkan) adalah santai dan menyaksikan pameran bunga-bungaan di lokasi itu.

"PBT akan memutuskan sama ada pertunjukan bunga api dibenarkan atau sebaliknya. Mereka akan buat keputusan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, sambutan Ambang Tahun Baharu peringkat kebangsaan yang dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini dibatalkan.

Pembatalan itu susulan keadaan banjir dan kesusahan dialami rakyat pada masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 5:37 PM