ADDEEN tewas aksi pertama. FOTO MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
ADDEEN tewas aksi pertama. FOTO MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
Fabian Peter


Hanghzou: Pasukan skuasy lelaki Malaysia tidak dapat mempertahankan pingat emas yang diraih lima tahun lalu selepas tersingkir pada aksi separuh akhir Sukan Asia Hangzhou, hari ini.

Pasukan yang diketuai juara Asia dua kali itu, Ng Eain Yow tidak dapat menghalang pilihan utama, India mara ke final selepas tewas 0-2 di Pusat Skuasy HOC di sini.

Eain Yow mengakui ia bukan keputusan yang dimahukan oleh pasukannya, namun apa yang lebih penting barisan pemain negara perlu segera bangkit sebelum bermulanya acara individu, Ahad ini.

"Memenangi gangsa tetap sesuatu yang boleh kami banggakan, walaupun ia tidak seperti yang kami harapkan.

"Tidak ada gunanya memikirkan terlalu banyak mengenai kekalahan ini. Kami semua perlu beraksi lebih baik dalam acara individu minggu depan dan kami perlu kembali lebih kuat," kata Eain Yow yang menjadi pilihan utama dalam acara perseorangan lelaki.

India mendahului menerusi Abhay Singh yang menewaskan Muhammad Addeen Indrakie Bahtiar 11-3, 12-10, 9-11, 11-6, sebelum pemain nombor 19 dunia, Saurav Ghosal, menewaskan Eain Yow, 11-8, 11- 6, 10-12, 11-3.

Eain Yow berharap tempoh rehat sehari akan memberi kelebihan kepadanya untuk acara individu.

"Ini adalah sukan, kadangkala anda menang, kadangkala kalah. Saya tewas hari ini dan saya akan belajar daripadanya.

"Kecewa kerana tidak ke final, tetapi banyak perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan hari ini dan saya akan bangkit dengan lebih kuat minggu depan,"" kata Eain Yow.

Sementara itu, India akan menentang Pakistan pada perlawanan akhir, esok. Pakistan sebelum itu menundukkan pemenang pingat perak tahun lalu, Hong Kong, 3-1 di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 10:27 PM