EAIN Yow bersama trofi dimenangi. FOTO IG
EAIN Yow bersama trofi dimenangi. FOTO IG
Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow menjadi pemain keempat Malaysia yang berjaya menjuarai Terbuka Ireland di Dublin, semalam.

Pilihan pertama kejohanan itu menepati ramalan apabila memastikan gelaran juara menjadi miliknya menerusi kemenangan ke atas pemain Mesir, Aly Abou Eleinen 12-10, 11-3, 11-2 pada aksi final.

Kemenangan itu menyaksikan pemain ranking ke-21 berkenaan merekodkan gelaran keenam dalam Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Kali terakhir Eain Yow muncul juara ketika menjuarai Terbuka Cleveland Skating Club pada Oktober tahun lalu.

Eain Yow, berkata dia berpuas hati dengan prestasinya sepanjang kejohanan itu terutama selepas berdepan cabaran sengit daripada setiap lawannya.

"Bangga dan gembira kerana dapat memenangi gelaran PSA keenam saya di Dublin selepas mengharungi minggu yang cukup mencabar. Ia lebih bermakna apabila saya menjadi pemain Malaysia keempat menjulang trofi ini," katanya.

Kejuaraan di Dublin itu juga dilihat mampu mengembalikan semula keyakinan Eain Yow selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Britain, awal bulan ini.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih skuasy kebangsaan, Andrew Cross gembira dengan aksi ditampilkan anak buahnya itu apabila bermula baik selain bangkit daripada ketinggalan di set kedua.

"Eain Yow bermain dengan baik dan ada perancangan yang baik. Dia bermula sangat baik sehingga menyebabkan Aly berada dalam keadaan tertekan dan sukar untuk mengutip mata.

"Di set kedua, dia ketinggalan, namun tetap positif dan berjaya bangkit. Saya percaya Aly pasti hairan bagaimana dia boleh terlepas untuk menang pada set berkenaan," katanya.

Sementara itu, dalam acara individu wanita, bintang sedang meningkat naik negara, Aira Azman terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.

Dia terpaksa akur apabila tewas di tangan pemain England, Jasmine Hutton 11-8, 5-11, 4-11, 9-11 dalam aksi final.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 7:24 PM