RAZALI (tiga dari kiri) menunjukkan jersi yang akan dipakai peserta pada acara Cabaran Climbathon Gunung Tebu '23 di Wisma Darul Iman, hari ini. FOTO ZAID SALIM
RAZALI (tiga dari kiri) menunjukkan jersi yang akan dipakai peserta pada acara Cabaran Climbathon Gunung Tebu '23 di Wisma Darul Iman, hari ini. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Seramai 592 peserta dari seluruh negara akan bersaing merebut gelaran dalam Cabaran Climbathon Gunung Tebu 2023 (MTCC'23) bertempat di Tarman Eko Rimba Lata Belatan, Besut, Sabtu ini.

Penganjuran MTCC'23 oleh Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) dan TAC Outdoor dengan sokongan Tourism Malaysia, Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) adalah usaha Jabatan Pelancongan negeri dalam menjayakan 'Visit Beautiful Terengganu'.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, acara itu menjadi platform untuk kerajaan negeri mempromosikan pelbagai keindahan dan keunikan hutan lipur, air terjun dan gunung ganang yang ada di negeri ini menerusi pelancongan sukan.

Katanya, Gunung Tebu yang berketinggian 1,039 meter (m) dari paras laut menjadi antara gunung tumpuan penggemar sukan lasak itu di negara ini.

"Hutan Lipur Lata Belatan di kaki gunung itu sentiasa menjadi tarikan pengunjung untuk aktiviti rekreasi keluarga terutama pada setiap hujung minggu.

"Penganjuran acara ini bertujuan mengajak orang ramai terutama anak muda untuk membudayakan aktiviti riadah dan bersukan secara sihat dan cergas melalui elemen pendakian gunung.

"Ia bakal memberi impak ekonomi pelancongan kepada penduduk dan industri pelancongan setempat di daerah Besut khususnya pengusaha hotel dan rumah penginapan, restoran, kedai runcit termasuk penduduk di Pulau Perhentian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 9:19 PM